Monday, November 24, 2008

Ada Untukmu - Part II

Panas sinar matahari menggigit kulit mukanya. Berkerut-kerut dahinya menahan panas cahaya matahari yang menerjah melalui sliding door biliknya. Rizki memilih bilik utama yang terletak di tingkat atas memandangkan rakan serumahnya tidak mahu memilih bilik tersebut. Rizki mengecilkan matanya, silau melihat cahaya yang masuk. Jam diatas meja menunjukkan pukul 9.30 pagi. Lewat aku bangun pagi ni. Getus Rizki. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal sambil menuruni tangga. Dilihat Pokok dan Ahcong sedang menghadap nasi lemak.
“mana korang beli nasi lemak ni?” ujarnya sambil menguap.
“kt simpang depan. Aku pergi bl tadi. Tu ha ko punye. Ko ni kenapa bangun lambat? Biasa ko yang bangun paling awal.” Kata Pokok dengan mengunyah nasi lemak. Diteguknya air yang telah dituang dalam gelas sebentar tadi.
“aku tak lena tidur la. Korang tak dengar apa-apa ke?” Rizki memandang sepi nasi lemak yang disua Pokok.
“Dengar apa? Aku lena je tido. Ko ni dari dua tiga hari lepas lagi dengar yang bukan-bukan.” Ujar Ahcong. Pelik baginya kerana tidak pula dia mendengar bunyi yang bukan-bukan sepanjang berada di rumah tersebut. Sebelum ini Rizki mengadu mendengar bunyi perempuan menangis dari biliknya saban malam. Sudah seminggu dia tidur dengan aman tanpa diganggu oleh sebarang bunyi, berbeza daripada apa yang diadu oleh Rizki. Pokok memandang Rizki. Timbul rasa kesian tapi agak lucu kerana dia dan Ahcong tidak mendengar bunyi tersebut.
“entahla..aku ingat kita kena buat doa selamat la kat rumah kita. Kita g masjid yang kat simpang tu ajak jemaah buat doa selamat sikit. Hari minggu ok lagi dengar-dengar ni. Bila da start hari bekerja, mati la aku” Sudah seminggu tidurnya diganggu dengan bunyi itu. Barangkali biliknya yang mempunyai balkoni membuatkan dia lebih cenderung mendengar bunyi tersebut berbanding rakan serumahnya.
Tiba-tiba Ahcong tersengih-sengih seorang diri. Entah apa yang menggelikan hatinya.
“ko kenapa Ahcong. Sengih-sengih. Kalu si pokok ni aku paham la-sengihnya tu memang tak boleh nk buang.”
“ko agak si bunga sebelah tu dengar tak bunyi yang ko dengar tu?” sudah seminggu dia tidak melihat kelibat cik Bunga. Setiap kali bila dia keluar bekerja keretanya masih diluar. Barangkali dia keluar lewat berbandingnya. Geli hatinya mengingatkan Rizki yang berselisih faham dengan cik bunga itu. Namun selain cik bunga itu, dia masih belum melihat orang lain dirumah itu.
“Lame aku x nampak dia. Marah lagi dia kat nko ki. Hahahha” gelaknya disambung Pokok. Rizki teringat gadis yang bernama Suri yang tinggal dirumahnya. Tidak pula dia terserempak dengan suri sepanjang minggu itu. Rasa mengantuk masih menghantui Rizki. Ditutup mulutnya berkali-kali akibat menguap. Tiba-tiba terdetik di fikirannya untuk menghubungi tok akinya. Tok Aki mesti ada jalan penyelesaian, bisiknya


Malam itu Rizki menunggu. Dia memandang jam di atas meja. Dia menanti sekiranya bunyi yang mengganggunya saban malam kembali mengganggunya. Kebiasaannya bunyi itu akan bermula sekitar 12 malam. Dia nekad tidak mahu lagi berdiam diri. Cukuplah seminggu bunyi itu mengganggu tidurnya. Tidak lama kemudian sayup-sayup bunyi sedu sedan mula kedengaran. Dibuang perasaan takut yang telah seminggu bersarang di hatinya dan dikuatkan semangatnya. Didalam kepala berputar beberapa ayat-ayat yang telah dihafal petang tadi dari Tok Akinya. Dibukanya sliding door biliknya. Bunyi itu semakin jelas. Angin malam menyapa muka Rizki. Sejuknya, bisik Rizki. Telinganya menangkap dengan jelas bunyi itu. Diamatinya, bunyi itu datang dari rumah sebelah. Rumah Suri. Dalam kesamaran cahaya dengan jelas dia dapat melihat kelibat tersebut. Diperhatinya lembaga itu diam-diam. Bimbang disedari. Tidak lama kemudian Rizki sedar yang lembaga tersebut adalah susuk seorang gadis yang sedang terhinggut-hinggut menangis. Seketika dia mengamati sehingga dia cukup yakin. Suri bisiknya. Jarak balkoni mereka yang tidak sampai 5 meter itu tidak susah untuk dia mengagak. Suri kemudian membawa sesuatu ke dalam pelukannya. Diamatinya lagi. Kemudian dia sedar yang yang dipeluk Suri itu adalah patung katak yang dipulangkan kepada Suri tempoh hari.
Niatnya ingin menegur tapi dibatalkan sahaja. Kejadian minggu lepas mungkin masih segar diingatannya. Takkan dia menangis sebab kejadian minggu lepas. Dia mencongak-congak. Cuba mengingati kali pertama dia mendengar bunyi tangisan. Seingatnya malam pertama dia tidur di rumah tersebut dia sudah mula mendengar bunyi tangisan. Bermakna sebelum kejadian langgar kereta itu berlaku lagi dia sudah mendengar bunyi tangisan tersebut. Diamatinya susuk lembaga dalam kesamaran cahaya bilik. Berkali-kali dia melihat suri mengasat-ngesat matanya dengan lengan bajunya. Sesekali ditumbuk-tumbuk lembut katak yang dipeluknya. Kali pertama dia melihat gadis tersebut tanpa tudung yang selalu litup menutup kepalanya. Rambutnya yang panjang sesekali diseka ke belakang. Lama dia mengamati berdiri disitu. Tidak sedar yang dia sudah tidak berselindung disebalik dinding seperti awal-awal dia melihat Suri tadi.
Seketika dia kaget apabila Suri bingkas bangun dan berpusing setentang dengannya. Tidak sempat dia menyorokkan diri. Begitu juga Suri. Terkejut melihat Rizki yang sedang merenung tajam dari balkoni rumahnya. Sudah lamakah dia berdiri disitu bisik Suri. Serta merta dia menyambar langsir bilik untuk menutup kepalanya yang sedari tadi tidak bertudung. Buat seketika mereka terdiam. Kaki Suri kaku untuk bergerak. Bagai dipacak ditempat dia berdiri.
“kalau saya tahu katak tu punching bag awak, saya tak pulangkan patung tu pada awak.” Lain yang ingin dikata, lain yang keluar dari mulutnya. Dia pasti Suri dapat mendengarnya dengan jelas.
Bulat mata suri. Sudahlah mengendapnya lepas tu sempat dia menyindir dirinya.
“apa awak buat ni. Buat apa awak berdiri kat situ?” ujarnya dengan sedu yang masih bersisa.
“cik Suri. Ini rumah saya. Balkoni saya. Tak salah saya ni berdiri, duduk, tidur kat sini.”ujar Rizki sinis. Merah muka masih terasa lantaran memikirkan dirinya yang kantoi mengendap Suri. Suri mengetap bibir menahan marah.
“buang masa jelah cakap ngan awak ini” terburu dia melangkah masuk ke dalam bilik tanpa disedari sliding door biliknya hanya terbuka separuh. Bergegar sliding door biliknya dilanggarnya. Terduduk suri menahan sakit. Aduh sakitnya kepala aku, bisik suri.
Terkejut Rizki. Dia bergerak mendekati hujung balkoni. Menjenguk Suri yang sudah terduduk.
“suri, awak tak apa-apa ke?.Suri...Suri” tak lama kemudian Rizki mendengar pintu sliding bilik Suri ditutup kuat. Terkebil-kebil Rizki. Ini kali kedua dia ditinggalkan demikian oleh suri. Seketika kemudian dia tersenyum. Ada saja perlakuan Suri yang mengundang senyuman di wajahnya. Pasti dahinya sakit melanggar pintu. Kemudian pecah ketawanya seorang diri.
Dengan ketawa yang masih bersisa dia kembali berbaring. Lega kerana misteri tangisan pada waktu malam itu telah terungkai. Terasa bodoh pula dirinya kerana berfikir yang bukan-bukan. Senyuman masih tak lekang dari bibirnya. Memikirkan kejadian yang berlaku sebentar tadi. Tidak disangka tangisan yang dia dengar sepanjang malam sepanjang dia tinggal disitu adalah tangisan Suri sebenarnya. Apakah yang menyebabkan Suri menangis sedemikian rupa. Hatinya mula mengutuk insan yang membuat Suri menangis saban malam. Masalah apa yang membelenggu Suri sehingga begitu esaknya. Putus cintakah dia? Semenjak dia mengenali Suri, tidak pernah dia melihat senyuman diwajah Suri. Pasti manis wajahnya bila tersenyum. Tetiba aku berfikir pasal Suri ni kenapa, bisiknya. Sudah gila bayang agaknya aku ni. Dipeluknya bantal cuba mengusir wajah Suri yang menari-nari dihadapannya. Arghhh-hantu lain plak yang datang, bisiknya tersenyum.

Pagi itu, ketika ingin membasuh kereta, suri perasan segaris calar di belakang keretanya. Mesti sebab langgar kereta volkswagen kuning tempoh hari. Dia lantas mengambil kain di dalam bonet dan bingkas duduk diatas jalan tar. Digosoknya perlahan calar itu. Harapan Suri agar calar itu hilang. Sakit hatinya, bimbang sekiranya calar itu kelihatan akan mengingatkannya dengan kejadian minggu lepas. Keretanya itu baru sahaja dipakai selama 4 bulan hasil dari duit gajinya setelah setahun bekerja. Tiba-tiba hidung suri disapa bau nyaman. Bau ni, bisiknya. Tiba-tiba bulu tengkuknya berdiri. Bau itu dapat dicam dengan jelas olehnya.
“kalau gosok kosong mana nak tanggal. Try gosok dengan wax la. “ terkejut Suri. Suara itu sangat dicamnya. Dia memalingkan mukanya. Pemuda yang dikenali dengan nama Rizki itu tersenyum. Ditangannya dipegang sehelai kain buruk dan sebiji baldi. Dia seperti biasa hanya berboxer namun kali ini bertshirt lusuh berwarna biru. Suri mendiamkan diri. Teringat peristiwa malam tadi. Terasa senyuman Rizki itu menyindirnya. Dia mendiamkan diri, tidak menjawab dan tidak berganjak dari tempat duduknya.
Rizki membuka bonet keretanya yang diparking bertentangan dengan kereta Suri. Dari tempat Suri duduk, dia dapat melihat dengan jelas beberapa toolbox serta perkakasan kereta yang tersusun rapi dalam bonet kereta Rizki. Pada salah satu toolbox itu tertulis Jet Li Workshop dengan marker pen. Dia kembali menggosok calar di keretanya. Tidak mempedulikan teguran Rizki.
Degil, bisik Rizki. Dia mengambil wax dari bonet keretanya dan bergerak duduk mengcangkung di tepi Suri. Dipicit sedikit wax pada kain buruk di tangannya.
“awak ketepi, biar saya yang buat” dia mengarah suri. Kereta aku, dia nak sibuk kenapa, bisik Suri. Namun dia berganjak memberi ruang kepada Rizki. Rizki mula menggosok calar kereta Suri. Dia yakin calar itu kerana melanggar keretanya tempoh hari. Dari tempat dia mengcangkung dia dapat melihat dengan jelas mata Suri yang masih sembab. Akibat daripada menangis malam tadi agaknya. Bisik Rizki.


Suri yang mengcangkung disebelah berganjak sedikit. Mulanya hanya memandang kebawah kemudian sesekali dia mencuri pandang wajah Rizki. Rizki? Sape yang nak pakai nama pelik tu, Indon ke? Bisiknya. Dia yakin itu hanya nama panggilan kerana wajahnya memang mempunyai iras pelakon negara seberang Nicholas Saputra yang memegang watak Rizki dalam salah satu filem yang dilakonkannya. Dia yakin dengan iras itu mungkin dia dipanggil Rizki. Dengan iras wajah begitu juga, dia sangat yakin pasti ramai gadis yang mengejarnya. Ah lelaki, semua sama sahaja, gumamnya sendiri.
“hensem sangat ke saya ni Suri, sampai awak pandang saya macam tu” ujarnya tanpa memandang Suri. Suri kembali tunduk. Malu kerana perbuatannya diperasankan oleh Rizki.
“sembab mata awak tak hilang lagi. Sebab nangis semalam la tu.” Suri bingkas bangun. Merah mukanya menahan marah. Apa hak dia nak sindir aku, bisiknya. Dia mula tidak keruan. Tak tau apa yang mahu dicapai.
“hai cik Bunga. “ ujar Ahcong yang sejak dari tadi hanya berdiri memerhati. Sejak dari hari itu lagi lelaki itu memanggilnya dengan nama cik bunga. Dia mengelatkan muka. Nama pun kawan, perangai masing-masing sama je. Pokok menyusul di belakang Ahcong. Berminat ingin mengetahui apa yang berlaku.
“ sorila. Saya gurau je. Jangan marah. Saya Ahcong, ni Pokok. Kawan saya tu mesti awak da kenalkan, Rizki. Hari tu awak balik cepat sangat, tak sempat nak berkenalan.” ujarnya tersenyum. Kali ini senyumannya lebih ramah. Bukan senyum sinis yang selalu dibuatnya.
“Suri bukan bunga.”katanya perlahan. Diambi beberapa fail yang bersepah dari bonet keretanya.
“Da settle. Da hilang” ujar Rizki bingkas bangun. Dia tersenyum melihat suri. Menampakkan gigi taringnya. Jadi inilah senjata utamanya, bisik suri. Lelaki bernama rizki itu mempunyai senyuman yang manis dengan gigi taring yang jelas kelihatan. Ditambah dengan seulas bibir yang merah membuatkan wajahnya begitu menarik apabila tersenyum. Dijelingnya dengan hujung mata, tahi lalat Rizki yang betul-betul terletak diatas bibirnya. Dasar buaya, bisik Suri. Dia masih berdiri disitu.
“awak tinggal sorang ke Suri?” tanya Pokok yang mula menyalakan api rokoknya.
“hah, x de la. Berdua tapi kawan x de. Kursus.” Jelasnya. Dengan memeluk beberapa fail dia bersusah payah cuba menutup bonet keretanya. Rizki yang berdiri tidak jauh darinya memandang sambil tesenyum. Dia ingin melihat sejauh mana suri berusaha. Pokok dan Ahcong yang berdiri tidak jauh memandangnya. Dia faham maksud mereka agar dia menolong suri. Tanpa Suri sedar, Rizki sudah berada di tepinya menolong menutup bonet. Rizki tersenyum lagi.
“terima kasih. Saya masuk dulu” ujarnya meminta diri. Laju dia melangkah ke pagar.
“Suri, bukan awak nak basuh kereta ke?” laung Rizki. Suri berpaling, hairan. Rizki menjuihkan mulutnya kearah baldi merah ditepi keretanya yang berisi berus dan sabun. Rizki mengangkat kening. Dia tersenyum lagi. Tanda kemenangan.
“hah...bukan...hmmm...x pe lah” ujarnya tenggelam timbul. Tidak tahu alasan apa yang perlu diberi. niatnya ingin mebasuh kereta dilupakan sahaja. Dia menundukkan kepala dan pantas melangkah ke dalam rumah. Rizki mengikut Suri dengan pandangan matanya. Segaris senyuman kembali terbit dibirnya. Dihalakan langkahnya kearah Pokok dan Ahcong yang sedari tadi memerhati lagak mereka berdua. Diambil sebatang rokok dari ahcong dan turut bersandar di kereta volkswagennya.
“aku raser Suri tu suka kat ko la Ki” ujar Ahcong. Dia memandang sepi. Mengalihkan pandangannya ke baldi Suri yang telah berisi air. Sekali lagi dia tersenyum. Memang minah tu nak basuh kereta, bisiknya sendiri.

Suri membelek wajahnya di cermin. Dia mengeluh. Sembab lagi mata aku hari ini bisiknya. Dia mengambil eyeliner, menerangkan garis matanya. Ditelitinya lagi. Argh, sia-sia, bisik Suri lagi. Matanya masih juga kelihatan sembab akibat menangis sepanjang malam. Sambil didalam hatinya merangka-rangka alasan yang bakal diberikan kepada rakan sekerjanya, dia berjalan ke arah kereta. Dipandangnya kereta volkswagen kuning yang sudah tiada dihadapan rumah. Kebiasannya bila dia keluar bekerja, kereta itu masih ada dihadapan rumah. Mungkin bengkelnya buka awal hari ni, telahnya sendiri. Dia yakin lelaki yang bernama Rizki itu berkerja di bengkel kereta lantaran peralatan bengkel yang begitu banyak dalam keretanya. Patutlah dia tidak kelihatan bimbang pada hari dia melanggar kereta, memang kerjanya membaiki kereta, gumamnya sendiri.
Semasa menghidupkan kereta, dia terperasan ada satu beg plastik tergantung pada side mirror keretanya. Dia menurunkan cermin keretanya dan mencapai plastik tersebut. Diselaknya isi plastik berwarna merah itu. Terdapat 2 biji telur yang masih lagi hangat dan sekeping stick on note bertulis tangan. “Harap telur ni dapat tolong untuk hilangkan sembab mata sebelum sampai tempat kerja”. Dibelek kertas itu sekiranya terdapat nama atau tandatangan. Namun hampa. Berkerut-kerut dahi Suri memikirkan siapa gerangan yang memberi telur tersebut padanya. Namun diambilnya sebiji telur itu dan dituamkan dimatanya. Lantaklah, bisiknya. Masuk hari ini sudah tiga hari beturut turut dia menerima plastik berisi telur rebus itu dengan stick on note yang sama. Malas untuk memeningkan kepala, Suri hanya menganggap ada orang mahu bergurau dengannya. Mungkin, bisiknya.
Sesampainya di pejabat dia disambut dengan sindiran rakan sekerja.
“hai suri, x kan hari ni bawak bekal telur rebus lagi. Da 3 hari da ko bawak telur rebus”tegur hafiz yang telah terlebih dahulu sampai darinya. Dia yang sudah mengenali suri semenjak belajar lagi tidak pernah pula melihat gadis itu membawa telus rebus sebelum ini.
“ko nak amik la.” Dihulurkan plastik berisi telur kepada hafiz. Kemudian dia tersenyum memikirkan hafiz yang tidak tahu apa-apa. Hafiz menyambut dengan senang hati.
Dia kembali mengatur langkah ke tempatnya untuk memulakan kerja. Telefon di mejanya menjerit meminta diangkat.
“hello, ya?” ujar suri.
“assalamualaikum. Selamat pagi sayang”ujar suara dihujung talian. Berderau darah suri. Dia sangat mengenali suara itu. Firkan bisiknya. Memang itulah panggilan Firkan padanya. Dia membatukan diri. Tidak menyambut salam Firkan.
“awak, tak baik tak sambut salam. Awak kita keluar ya hari ni. Balik kerja nanti saya pergi ambil awak kt umah awak” ujar Firkan lembut dihujung talian. Rasa sakit hatinya semakin melonjak-lonjak. Jika selama ini, Firkan tidak pernah gagal memujuknya. Kali ini tidak. Dia sudah penat dimainkan Firkan.
“Suri, awak diam je. Diam bererti setuju tau. Oklah kalau awak tak nak bercakap, saya nk letak telefon ni. Tapi saya pergi amik awak kt umah malam ni ye. Ok. Assalamulaikum. Kerja elok-elok sayang” talian dimatikan. Dia meletakkan ganggang di tempatnya kembali. Gelisah memikirkan sekiranya Firkan berkunjung ke rumahnya malam ini. Bagaimana mana dia harus berhadapan dengan Firkan. Dia mengenali Firkan dan begitu juga Firkan. Dia yakin Firkan bukan datang dengan tangan kosong. Dia pasti sudah merangka cara untuk memujuknya. Dan Suri bimbang, bimbang dia akan berlembut hati dengan Firkan.
Dia mesti kuat, dia tak mahu Firkan menang lagi. Sudah 7 tahun dia mengenali lelaki bernama Firkan itu. Firkan tua dua tahun darinya. Senior ketika dia di sekolah menengah lagi. Semenjak mengenali Firkan dan sejak itulah dia menaruh hati padanya. Namun dia tidak pernah berpeluang dan berani untuk meluahkannya pada Firkan. Siapalah dirinya pada waktu itu untuk berdiri disebelah Firkan. Sifat Firkan yang berani, kelakar dan mononjol membuatkan dia terkenal di sekolah dan di asrama. Bukan sekali dua dia mendengar bisikan-bisikan pelajar perempuan yang meminati Firkan. Maka dia mengambil keputusan untuk mendiamkan sahaja minatnya pada Firkan sehingga dia tamat sekolah dan melanjutkan pelajaran di peringkat diploma. Berita terakhir yang didengarinya, Firkan sedang menuntut di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai.
Ketika di tahun akhir pengajian ijazahnya, dia terjumpa Firkan di majlis perkahwinan sepupu Firkan yang juga merupakan kawan baiknya. Ketika itu, barulah dia perasan, perasaannya pada Firkan tak pernah berubah. Dia masih menyukai Firkan seperti dulu. Namun dia hanya memandang dari jauh dan dia menyangka mungkin itula kali terakhir dia berjumpa dengan Firkan. Dua hari selepas majlis itu, dia mendapat panggilan dari Firkan. kata Firkan, dia mendapat nombor telefon Suri dari sepupunya. Dan ketika itu dia terkejut. Sangkanya Firkan tidak pernah mengenalinya. Namun Firkan menidakkan perkara tersebut. Katanya, dia sentiasa ingin menegur suri namun tidak mempunyai peluang.
Semenjak itu, dia bertambah rapat dengan Firkan. Setelah tamat pengajiannya dia menetap di Kuala Lumpur dan begitu juga Firkan. Rezeki dia dan Firkan tertulis di Kuala Lumpur. Jika sebelum ini, dia tidak pernah menanam angan-angan untuk bersama Firkan namun Firkan mula mengajarnya berbuat demikian. Gurauan Firkan sentiasanya membuatnya tersenyum dan ketawa. Sikap Firkan yang sangat mengambil berat akan dirinya membuatkan suri terasa dirinya dihargai. Firkan mula menjadi makna hidup suri. Sehinggalah 3 minggu lepas. Segalanya berakhir. Suri mengeluh kecil. Salahnya sendiri meletakkan harapan yang tinggi pada Firkan. dia patut mengenali firkan, dan sepatutnya berpijak di bumi lebih awal. Jika dia berbuat demikian 2 tahun lepas maka dia tidaklah sekecewa sepertimana sekarang. Selama ini disangkanya, dia yang memiliki Firkan. Bagi Firkan dirinya hanyalah mainan yang boleh diambil ketika perlu dan dibuang sesudah bosan. Begitu rendah dirinya dimata Firkan. Dua tahun lamanya dia bersabar dengan sikap Firkan yang bermain tarik tali dengannya. Fikirnya suatu hari nanti Firkan akan sedar yang Suri akan sentiasa berada disampingnya dan sentiasa ada untuknya walau apa jua keadaan. Tapi semua itu sia-sia. Tidak pernah dihargai Firkan. Dia mula berputus asa. Perlukan kepastian dari Firkan.
Namun kepastian yang diperolehi nampaknya tidak berpihak padanya. Rupanya selama ini dia hanya cuba menggapai awan. Hanya indah dipandang. Tak tercapai untuk dipegang. Dia tahu, tangisnya saban malam tidak akan mengubah apa-apa. Tangisnya tidak akan membuka hati Firkan, tidak akan memberi cinta Firkan padanya. Namun itu sahaja yang dapat difikirnya, cara yang dapat melepaskan rasa sakit hati, kecewa serta sedihnya. Biarlah bisiknya.

Malam itu, Suri pulang lewat kerumahnya. Bimbang Firkan menunggunya di rumah. Telefonnya dimatikan. Diintainya dari dalam kereta, kereta Firkan tidak kelihatan. Suri menghembus nafas lega. Mungkin Firkan sudah pulang atau memang tidak datang langsung. Lantaklah, bisiknya. Ketika keluar dari kereta. Suri terasa tangannya dipegang. Tidak sedar bila Firkan muncul dihadapannya.
“Suri, we need to talk. Sampai bila awak nak merajuk dengan saya”. Ujar Firkan. Suri kaget, tidak tahu apa yang perlu dibuat. Direntap tangan Firkan dan dia meluru ke pintu pagar rumah. Firkan bertindak lebih pantas menghalang suri. Dia berdiri teguh dihadapan pagar.
Saat itu mata Suri dan Firkan diganggu dari cahaya lampu kereta. Dilihatnya Rizki berdiri ditepi keretanya melihat perlakuannya dan Firkan. Suri mengetap bibir. Kenapa jika ada perkara memalukan mesti dia akan tengok, getusnya.
“Sayang. Stop acting childish. Saya minta maaf ok. Maafkan saya”ujar Firkan merenungnya. Suatu masa dulu dia pernah kalah dengan renungan itu. Tidak hari ini.
“stop calling me sayang and u know sumthin.This is what i call childish.”Suri mengambil baldi yang diletaknya disisi pagar. Diangkatnya dan disimbahnya pada Firkan. Saat itu, dia tidak berfikir panjang, dia hanya ingin Firkan berhenti bermain dengan hatinya dan pergi dari situ.
Firkan terpaku ditempatnya. Tidak menyangka Suri berbuat demikian. Basah kemejanya disimbah air dalam baldi tersebut. Suri kemudiannya cuba membuka pintu pagar rumahnya. Namun dihalang Firkan.
“OK fine. Sekarang awak dah lepaskan marah awak. So, i’m forgiven?”ujar Firkan tidak menunjukkan sedikit pun tanda marah.
Suri merenung Firkan. Tidak percaya Firkan masih belum berputus asa. Baik, bisik suri. Dia bergerak ke kereta, bukan keretanya tapi ke kereta Rizki. Dibukanya pintu kereta Rizki dan kemudian duduk didalamnya. Rizki yang masih berdiri disebelah kereta terkejut dengan tindakan Suri. Firkan memandang hairan. Dia tidak mengenali lelaki itu.
“awak tak nak masuk dalam bawak kereta ke?” ujar Suri. Rizki yang masih termangu-mangu dan tidak memahami apa yang berlaku menurut kata Suri. Volkwagen itu kemudian meluncur meninggalkan Firkan yang kebingungan dalam kebasahan.

Suasana dalam kereta sepi tanpa suara. Rizki mendiamkan diri. Begitu juga Suri. Rizki memandu tanpa tujuan. Niatnya sebentar tadi ingin ke kedai serbaneka membeli rokok. Tidak disangka dia terlibat dalam pergaduhan Suri itu tadi. Dia kemudian tersenyum membayangkan Suri yang nekad menyimbah lelaki itu. Paling dia tidak sangka suri berlari masuk ke dalam keretanya. Senyumnya tidak dapat ditahan dan membuahkan ketawa kecil. Suri disebelah menjeling.
“apa yang kelakar sangat?” ujar Suri dengar tak dengar. Dia sendiri tidak menyangka di meluru ke kereta Rizki. Entah kemana hilang kewarasannya semasa menyimbah Firkan dan meluru ke kereta Rizki. Namun dia puas. Biarlah, bisiknya. Apa nak jadi pun jadilah bisiknya. Geram pada Firkan yang masih menganggap masih boleh mengutipnya setelah dia memijak-mijak maruahnya.
“hmmm..x de la..terkejut awak simbah mamat tadi. Mesti dia terkejut tak hinggat” ujarnya dengan ketawa yang masih bersisa. Suri yang pada mulanya ingin marah tidak jadi marah. Dia kemudian tersenyum dan kemudian ikut sama ketawa bersama Firkan. Dilepaskan ketawanya semahu-mahunya. Tidak dipedulikan Rizki disebelahnya. Dia kemudian mematikan ketawanya bila dia terperasan yang Rizki dibelahnya merenungnya tajam. Dia membatukan diri dan membuang pandangan ke tingkap. Hatinya berdebar-debar, tidak sedar yang dia bersama Rizki yang baru 3 minggu dikenalinya.
“Rupanya awak tahu senyum” Rizki bersuara tanpa memandangnya. Dia kembali tersenyum.
“kenapa awak cakap macam tu plak?” dia berkerut memandang Rizki.
“hmmm..x de lah. X de pape.”Suri tidak mengalihkan pandangannya dari Rizki. Dia tidak berpuas hati dengan jawapan Rizki. Dia tahu Rizki menyindirnya.
“hmm..awak turunkan je saya kat mana-mana. Nanti tahulah saya balik sendiri.” Ujar Suri.
“awak berani naik ngan saya. Awak balik ngan saya” Rizki bersuara tegas. Suri terdiam. Tidak sopan pula kalau dia mengarah-arah Rizki untuk menurunkan dia dimana-mana.
“lelaki tu, dia ke yang buat awak menangis tiap-tiap malam?” dia tidak dapat membohongi dirinya. Perasaan ingin tahu siapakah lelaki yang disimbah suri itu tidak dapat ditahan. Sebenarnya dia ingin bertanya dari tadi lagi.
“Radio awak ni x leh on ke?” Kata Suri merubah tajuk. Dia tidak mahu berkata ‘itulah lelaki yang tolak cinta saya’ mungkin tidak pada Rizki. Yang mana dia tahu, lelaki itu selalu menyindirnya bila berkesempatan.
“tak tahulah. Da rosak kot. Saya try tak pernah plak dapat” tangannya menekan-nekan butang ‘on’ namun tidak menunjukkan apa-apa perubahan.
“awak ni da kereta sendiri pun tak tahu” Suri mengomel. Dia turut menekan-nekan apa-apa butang.
“mane saya tau nak baiki. Lagipun kerete ni-“
“la awak kan mekanik tak kan la tak tau mana rosaknya. Mana wayar yang tercabut. Mana yang da putus” ujar Suri memotong cakap Rizki.
Rizki mengerutkan dahinya. Cuba memikirkan apa yang dikatakan Suri. Namun ketika itu, keretanya sudah sampai ke laman rumah.
“Terima kasih. Saya balik dulu. Dan hmmm..saya mintak maaf sebab da susahkan awak. Terima kasih. Selamat malam” Suri berlalu tanpa sempat Rizki berkata apa-apa. Kali ketiga, bisiknya. Dia tersenyum melihat kelibat Suri hilang dalam rumah. Dia bergerak membuka pintu rumahnya. Pokok dan Ahcong masih belum tidur, terbaring menonton tv.
“ko dari mana. Tadi kata nak g seven-eleven depan tu je? Rokok mane?” ujar pokok memandangnya.
“Aku? Aku g tengok cerekarama tadi”laungnya sambil menaiki tangga. Pokok dan Ahcong berpandangan, tidak faham yang diperkatakan Rizki.
Malam itu sebelum tidur. Rizki merenung syiling rumahnya. Walaupun sejuk disapa angin malam. Dia membuka sliding door bilik. Sudah 3 malam dia berbuat demikian. Dan sudah tiga kali juga dia bangun awal untuk merebus telur untuk suri. Dia tahu gadis itu menangis saban malam dan matanya pasti sembab setiap pagi. Harapannya agar telur itu membantu Suri.
“la awak kan mekanik tak kan la tak tau mana rosaknya. Mana wayar yang tercabut. Mana yang da putus”
Berkerut-kerut dia memikirkan apa yang diperkatakan Suri. Dia kemudian tersenyum kemudian ketawa. Suri tidak pernah gagal untuk membuat dia ketawa. Tidak lama kemudian dia lelap, tidak sedar yang tangisan itu tidak lagi kedengaran.

8 comments:

Anonymous said...

LAGI2?MANE?WE WANT MORE!!YEAH....

nuna_sarah said...

looo...sorry2..aku try sudahkan part seterusnya..i hope so

Anonymous said...

jln crite mmg best, cme kdang² tu bnyk sgt ayat² yg berulang. kalu dpt krang kan crite ni da bole bt n0vel, mmg best bile mmbace crite ni. part 3 bile..??? huhu

nuna_sarah said...

ok..my mistake--sori..hehehe..t benda tu akan try diminimize dalam part 3- mgu dpn kot..

Anonymous said...

bile nye..aku nk baca ni

Anonymous said...

best..best..truskn..hikhik

Anonymous said...

best2...bile nk sambung ni

Anonymous said...

bestnyaaa..romantik! :) kreatif. keep writting sarah. teruskan karangan kreatif wak ni. tp jgn tergesa2 sambung part demi part, takut kualiti kreatif terjejas plk sb nk kejar mengarang. tp klu wak mampu pantas sambil kekal kualiti n kreatif, its ok. go on, sarah! :)

Click Me

Related Posts with Thumbnails